Isnin, 13 September 2010

Terbang Bersama Hasrat yang Tinggi

Salam...

Sekarang aku sudah habis SPM dah sudah mendaftar di Universiti Teknologi Malaysia di dalam bidang Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Pada masa ini aku belum memutuskan untuk memasuki pengkhususan yang mana. Semangat untuk melanjutkan pengajian atas dorongan mak dan abah, demi mengubah nasib keluarga. Abah masih memandu lori amang di Kampar, menghantar amang ke Lumut untuk diangkut pula ke Jepun. Gajinya RM1200 sebulan, menanggung kami enam beranak.

Abang yang sudah setahun lebih awal tamat sekolah menengah sedang bekerja di sebuah kilang membuat ubat nyamuk. Nasibnya di dalam pelajaran tidak sebaik aku. Kami sering bersaing, tetapi abang tersungkur di dalam SPM dengan keputusan SAP (Sijil Am Pelajaran). SAP tidak membolehkan abang menyambung pengajian ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Sungguhpun abang sudah bekerja, dia hanya menanggung dirinya sendiri. Adikku masih di sekolah menengah dan si bongsu di sekolah rendah...manakala perbelanjaan aku di UTM banyak.
Tidak sampai sebulan aku di UTM, aku ditawarkan biasiswa ke luar negara di dalam bidang Textile Chemistry di Michigan State University. Aku bersorak gembira kerana tawaran pengajian ini diiringi bantuan biasiswa penuh. Orang miskin mana yang tidak mahu merebut peluang ini? Aku nyaris menjadi orang miskin itu.

2 bulan sebelumnya aku pergi ke Pejabat Kementerian Pelajaran untuk menghadiri temuduga bagi mendapatkan biasiswa pengajian ini. Aku usahakan sendiri dengan bantuan yang sangat banyak dari Along, sepupuku yang telah lama bertugas di KPM. Aku menumpang bermalam di rumah Anyah (ibu Along) di Taman Koperasi Polis di Ampang pada malam sebelumnya. Bangun awal pagi keesokan harinya untuk merebut bas mini terawal untuk sampai ke Pusat Bandar Damansara. Banyak kepayahan yang aku tempuh untuk meyakinkan abah supaya membenarkan aku menghadiri temuduga ini.

Sebulan selepas temuduga dijalankan, aku diterima ke dalam program ini, alhamdulillah!!! Berita ini ku bawa pulang ke Kampung Jeram dengan berat. Aku harus menghadapi abah dan mak. Mereka memang dari seawal keluar dari SERATAS mereka telah berkata, "kamu hanya  boleh sambung belajar di dalam negara", justeru aku memohon untuk ke UTM Skudai Johor di samping permohonan biasiswa ini. Aku diterima ke luar negara!

Bagaimana aku nak memberitahu mak dan abah khabar baik ini? 

...Bersambung...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan