Ahad, 12 September 2010

Satu Lagi Aidilfitri yang Sunyi

Salam...

Hari ini sepatutnya hari Raya Aidilfitri yang ke-4. Balik ke rumah sendiri di Batu Gajah ini untuk meraikan Eid Mubarak bersama keluarga. Namun, abang yang sudah berumahtangga sibuk di Parit, adik yang juga sudah berumahtangga sibuk menguruskan anak-anak di Gunung Rapat, adik bongsuku yang baru melangsungkan perkahwinan berkurung di dalam rumahnya walaupun hanya 2 meter jaraknya dari rumahku; menguruskan keperluan suaminya.

Aku di rumah, keseorangan, menghabiskan masa di dalam bilik bertemankan netbook ini, TV, nota-nota dan buku-buku di sekelilingku. Aku bujang, pada usia yang begitu lanjut, belum direzekikan dengan suami dan anak-anak seperti mereka. Buku-buku, nota-nota adalah teman setiaku sekarang kerana melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah. Insya Allah akan kutamatkan perjalanan sebagai pelajar ini dalam masa 3 tahun. Siapa yang akan menemankanku selepas itu?

Pada hari ini, aku merancang untuk ke Taiping, merayakan Eid Mubarak bersama rakan lama sekolah dahulu, tetapi, abah demam, perlu perhatian. Sungguhpun emak yang menjaga dan mengatur makan minumnya, aku perlu berada di sini, aku diperlukan jika berlaku apa-apa kecemasan kerana aku pemandu mereka. Aku sunyi. Abang dan adik-adik bersama keluarga masing, mak ada abah... aku? Buku dan nota? TV? Hari ini hari rayalah... I have no life..(jika kehidupan didefinisikan sebagai memiliki teman hidup dan keluarga)

Allah... Aku milikMu. Hanya Engkau yang tahu apa yang terbaik untukku. Sesungguhnya Engkau tahu aku sunyi dan sedih di hari yang mulia ini. Engkau tahu aku perlukan sesuatu untuk terus hidup. Engkau tahu aku cintakan Mu. Izinkan ku mencintaiMu ya Allah dan kau penuhi hatiku dengan rasa cinta padaMu. Aku mendambakan pertemuan denganMu setiap saat. Dan jika memiliki suami dan anak-anak akan melalaikanku dari mengingati dan mencintaiMu, kau jauhkanlah. Jika memiliki keluarga akan menguatkan dan mencintaiMu dengan lebih dalam, Kau percepatkanlah pertemuanku dengannya. Aku sunyi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan