Sabtu, 11 September 2010

Borolek Godang Urang Rao

Salam...

Ini bermaksud perhimpunan besar orang berketurunan Rao di Malaysia semalam. aku orang Rao. Asal keturunan dari susur galur keturunan Raja-raja dari Pagar Ruyung. Aku mula menyertai aktiviti kumpulan ini sejak tahun lepas dan penambahan pengetahuan mengenai latar belakangku yang bukan sembarangan membuatkan aku bangga menjadi anak Rao.

Suatu semangat baru, seolah-olah pemberi tenaga dalaman, meresap ke dalam tubuh badanku menambahkan semangatku untuk terus berjuang melebarkan sayap untuk terus maju dan berjaya dalam hidup. Ramai org Rao yang berjaya dan menempah nama di persada nasional dan antarabangsa; Tun Siti Hasmah Ismail, isteri Tun Dr. Mahathir Muhammad dan ramai lagi. Susur galur ini perlu aku pertahankan maruahnya.

Sekarang, opah dan tok sudah meninggal dunia; arwah opah yang dulunya berketurunan Mandailing dan arwah tok berketurunan Minangkabau. (Pada tahun 1921 ada Pertempuran di antara orang Rao dan orang Mandailing di kawasan Gopeng. Baru aku tahu kenapa arwah opah begitu tidak menyukai abah) Dahulu merekalah yang banyak mendatangkan impak dalam semua keputusan yang aku ambil; sesungguhnya, semua keputusan yang aku ambil dulu banyak bergantung kepada kebaikan mak, abah dan adik-beradik.

Aku terpaksa berkorban hasrat hati demi membantu mak dan abah menyara keluarga dengan lebih baik; kami selalu dicemuh kerana mak dan abah tidak berpendidikan tinggi dan kehidupan kami bergantung pada hasil torehan getah, kutipan dan jualan limau nipis, pemanduan bas atau lori. Tidak ada apa yang menarik dari kehidupan ini. Kami sentiasa susah, tetapi alhamdulillah, hasil kepintaran dan sifat berhemah mak dalam pengurusan wang, kami sekeluarga dapat makan tanpa mengais. Setelah dewasa ini baru aku tahu, mak banyak bergolok gadai demi memberi pendidikan kepada kami adik beradik.

Sekarang, aku mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia. Peringkat Doktor Falsafah. Setelah 11 tahun bekerja di dalam sistem pengajian tinggi Malaysia, inilah peluang bagiku untuk mengubah dan menambahbaik kehidupan yang alhamdulillah sudah baik setakat ini. Ini adalah sesuatu yang perlu aku lakukan untuk membuktikan pada diriku sendiri yang aku mampu mencapai dan menggarap impianku selama ini. Anak Rao pantang berundur... Allah bersamaku.. amin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan