Sabtu, 17 September 2011

Cerekarama Malam Ini...

Cerekarama malam ini jalan cerita ini menghampiri apa yang kami alami semasa kami kecil... Dibeza-beza opah dengan sepupu yang lain yang jauh lebih senang dan berkereta; layanan, makanan, pakaian... yang ketara sangat adalah layanan.

Abah, berkahwin dengan emak ketika bekerja sebagai konduktor Bas Kinta bagi perjalanan Ipoh-Kampar. Pada masa mereka mula bercinta, abah acapkali memberi emak menaiki bas secara percuma dan dihantar betul-betul di jalan masuk ke rumahnya. Kebetulan pada masa ini, emak diperhatikan oleh seorang lain yang lama menaruh hati kepada wanita yang ayu, berambut ikal, bersopan dan pandai mengaji Al-Quran.

Emak pernah bercerita, pada masa dulu-dulu, memang ramai yang masuk meminang emak, melangkau kakaknya yang tidak dipandang mana-mana jejaka pada masa itu. Ya... Mak Yang cemburu dengan kecantikan emak dan lelaki-lelaki yang cuba mendekati emak.

Pada suatu ketika, Wak datang untuk meminang emak. Pada masa itu emak belum berhubungan dengan abah. Memang segitiga. Kalau hendak diikutkan, Wak adalah calon menantu idaman mertua kerana kemewahan yang dimiliki/diwarisi dari keluarganya di kampung asalnya. Ya, memang menantu idaman, pada pendapat opah, lebih baik di'halakan' kepada anak kesayangannya, Mak Yang. Wak melangsungkan perkahwinan dengan Mak Yang, dan emak dinikahkan dengan abah. Bermula dari saat itu, mereka mula saling mengesyaki satu sama lain...bermula episod yang panjang dalam hidup emak dan abah... sehingga memberi kesan kepada kami adik-beradik... Kehidupan sebagai keluarga "kelas kedua" di dalam keluarga Hjh. Ramlah.

Abah acapkali mengajak emak berpindah ke kampung asalnya kerana tidak sanggup melihat bagaimana opah melayan emak, melayan kami adik-beradik. Tetapi emak berjaya memujuk abah untuk melupakan hasratnya kerana tok melarangnya untuk berpindah dan meninggalkannya. Emak adalah tulang belakang tok; sejak dari kecil, emak adalah pembantu tok, menoreh, mengutip pucuk paku, pucuk ubi, rebung, mengupas kelapa, menangkap ayam dan SEMUA kerja-kerja di rumah... Sementara adik-beradik emak yang lain bersenang-lenang bersekolah, berehat dan melanjutkan pengajian yang lebih tinggi. Emak bersekolah setakat darjah 2, hanya mampu 3M (membaca, menulis, mengira) sahaja.

Banyak perkar yang disembunyikan amak dan abah dari kami adik-beradik, tetapi aku... aku anak yang "CELIK" atas penderitaan yang mereka alami... Aku... yang berazam merubah nasib mereka.. . Aku, yang mengeluarkan mereka cari rantaian kutukan, hinaan dan caci maci keluarga sendiri... Allah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan